Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bakal membuka tirai pada 15 Februari. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

BAM anjur perlawanan simulasi Piala Thomas, Uber

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menganjurkan satu lagi kejohanan pemanas badan sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung dari 3-11 Okt di Aarhus, Denmark, walaupun banyak negara mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berpasukan itu.

Menurut BAM, Piala Presiden yang julung kali diadakan, menjadi kejohanan simulasi Piala Thomas dan Uber yang akan diadakan pada 16 dan 17 Sept di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, melibatkan semua 20 pemain yang disenaraikan akan ke kejohanan berprestij itu.

Badan induk sukan badminton kebangsaan itu telah menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM, satu pertandingan acara individu pada bulan lepas.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann dalam satu kenyataan berkata kejohanan simulasi berkenaan akan memberi gambaran awal mengenai Piala Thomas dan Uber memandangkan kebanyakan pemain tidak pernah beraksi dalam pusingan akhir kejohanan itu.

“Kami (BAM) sedang mempersiapkan pemain selepas Kejohanan Jemputan BAM dengan pertandingan yang melibatkan acara berpasukan. Kami berharap akan dapat menyaksikan satu lagi saingan yang kompetitif dan sengit. Di samping itu, kami juga ingin menyaksikan elemen lain iaitu semangat sepasukan dan keakraban ahli pasukan.

“Selepas kembali dari kem motivasi, saya dapat lihat pemain-pemain lebih bersikap terbuka dengan rakan sepasukan. Mereka mula menyesuaikan diri untuk bersikap terbuka dan berkongsi pengalaman.

“Mereka kini tahu mereka memperoleh banyak kekuatan secara berpasukan berbanding secara individu. Itu adalah tahap kecekapan yang berbeza yang memberikan ganjaran tersendiri, sama ada dari segi latihan, mental, taktikal dan peningkatan secara keseluruhan,” katanya.

Menurut Choong Hann, pasukan akan menjadi lebih seimbang, sebagai contoh jika pemain pilihan utama acara perseorangan diletakkan dalam pasukan A, pilihan utama acara beregu akan diletakkan dalam pasukan B untuk memberikan pertandingan yang adil antara kedua-dua pasukan.

Pertandingan itu akan diadakan tanpa kehadiran penonton di pusat kecemerlangan badminton kebangsaan itu dan akan disiarkan secara langsung melalui Astro Arena.

Setakat ini, kuasa besar badminton Asia seperti Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Australia telah menarik diri daripada menyertai pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2020 ekoran pandemik Covid-19 dan kecederaan dalam kalangan pemain utama.

-BERNAMA

 


Pengarang :