Selangorkini
Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (tengah) bersama pegawai penguasa banci pada Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Dewan Teluk Pulai, Klang pada 17 September 2020. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Banci 2020: MPK sasar lebih 1 juta penduduk

KLANG, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyasar 1.04 juta penduduk daerah itu dibanci dalam dua fasa Banci 2020.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata bancian melibatkan 14 kawasan penguasa daerah, tiga daerah pentadbiran, 177 lingkungan banci (LB) dan 1,229 blok penghitungan (BP).

“Sambutan pada peringkat awal masih kurang memuaskan, namun kita akan terus menggiatkan promosi di semua platform untuk memastikan proses (bancian) berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia hari ini.

Beliau menjelaskan pengumpulan data fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September menggunakan kaedah dalam talian (e-Census) manakala secara bersemuka pada 7 hingga 24 Oktober depan.

Terdahulu, MPK memperkenal 14 penguasa daerah terdiri daripada pengarah dan pegawai serta 14 ‘MyCensus District’ (MyCD) daripada Jabatan Perangkaan.

Fadzli berkata inisiatif yang dilaksana setiap 10 tahun itu penting dalam memberi gambaran sebenar kependudukan semasa rakyat negara ini, khususnya di Klang.

“Justeru, kita berharap proses bancian dapat dijalankan dengan mudah walaupun negara masih menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pada masa sama, kita mahu Jabatan Perangkaan mengeluarkan satu tatacara operasi piawai (SOP) selain menyediakan peralatan keselamatan seperti cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada penyelia serta pembanci yang bertugas.”


Pengarang :