AGENDANASIONAL

Bank Negara dijangka turunkan kadar dasar semalaman 25 mata asas lagi

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Principal Asset Management Bhd (Principal) menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Munirah Khairuddin berkata bank pusat akan kekal akomodatif bagi merangsang pelaburan pasaran dan meningkatkan penggunaan tempatan.

Beliau berkata pendekatan ini dijangka berpanjangan bagi tempoh tiga tahun akan datang sebagai cara bagi memastikan ekonomi pulih dalam semua sektor dan kembali mengukuh pasca pandemik Covid-19.

“Terdapat segmen yang terjejas lebih teruk daripada segmen lain seperti perusahaan kecil dan sederhana.

“Selain itu, kita belum lagi melihat kesan sebenar pasca moratorium (ke atas ekonomi). Saya fikir BNM akan lebih berhati-hati,” katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Global Principal 2020, di sini, hari ini.

Para penggubal dasar akan bertemu pada Khamis ini sebelum mengadakan mesyuarat terakhir pada 3 November.

Bank pusat telahpun menurunkan secara kumulatif 125 mata asas OPR sejak empat mesyuarat lepas, mengurangkan kadar dasar utama itu di bawah paras terendah sejak 2.0 peratus yang ditetapkan semasa krisis kewangan global 2008-2009.

Munirah berkata kadar faedah rendah akan terus menarik pelabur yang mahukan hasil dan ini akan terus menyokong ekuiti.

Menurutnya, pasaran tempatan melihat peningkatan ketara minat pelabur sama ada institusi, korporat mahupun runcit, dirangsang terutamanya daripada peningkatan hasil.

“Dengan kadar faedah yang rendah sekarang, kita boleh melihat aliran masuk pelaburan yang agak kukuh, bermula dari Julai.

“Penyertaan runcit dalam pasaran saham meningkat kira-kira 30 kali, tetapi wang sebenar seperti wang institusi dan korporat akan terus berada dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburannya Patrick Chang berkata pasaran ekuiti Malaysia mencatatkan prestasi terbaik di ASEAN setakat ini, turun hanya 6.0 peratus berbanding pasaran serantau lain seperti Thailand (-22 peratus), Indonesia (-25 peratus) dan Singapura (-22 peratus).

“Tidak seperti yang lain, pemacu utama indeks utama KLCI adalah yang paling besar dalam sejarah pandemik, Covid-19, oleh itu ia telah memacu sektor penjagaan kesihatan walaupun terdapat elemen positif lain seperti pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, Chang berpendapat, ketika para pelabur menuju ke penghujung tahun, mereka akan mengambil kira faktor lain termasuk vaksin yang dijangka mempengaruhi mereka untuk mula menjual pelaburan, yang seterusnya boleh memberi impak kepada sektor seperti penjagaan kesihatan.

– BERNAMA


Pengarang :