Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro, Abd Azharee Abdul Wahid bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Bantu rakyat kurang mampu tambah pendapatan berniaga secara maya

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menggalakkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan menyertai perniagaan dalam talian untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.

Ketua pegawai eksekutif Akademi Usahawan Mikro berkata ia susulan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dinaikkan tahun ini kepada RM2,208 daripada RM980 berisiko mewujudkan lebih ramai rakyat miskin di negara ini.

“Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Kerajaan Negeri mungkin boleh memikirkan inisiatif dengan membantu rakyat kurang mampu menambah pendapatan menerusi perniagaan dalam talian seperti Shopee, Grab dan sebagainya.

“Selain dapat mengurangkan jurang kemiskinan, pendekatan seumpama ini turut dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan miskin bandar,” kata Abd Azharee Abdul Wahid ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 bagi sesi usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail dan EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Beliau berkata digitalisasi membantu usahawan mikro terselamat sepanjang tempoh Covid-19 kerana wabak tersebut memaksa mereka lebih peka dengan digital dan perlu belajar bagaimana memasarkan produk dalam talian.

“Dunia digital amat luas dan kita perlu memanfatkan landasan sedia ada seperti Grab, Shopee dan Lazada,” katanya.


Pengarang :