Ng Sze Han menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan lesen penjaja sementara kepada mereka dalam majlis di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Batal lesen pemilik jual haiwan eksotik tanpa kebenaran

KLANG, 8 SEPT: Kerajaan Selangor bersedia membatalkan lesen perniagaan mana-mana pemilik premis sekiranya dikesan menjual haiwan eksotik secara haram.

EXCO kerajaan tempatan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak polis bagi mengesan peniaga yang terlibat.

“Setakat ini kita tidak dapat mengenal pasti mereka yang terlibat kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai pakar untuk mengesan sama ada peniaga menjual haiwan eksotik atau tidak, termasuklah dalam penjualan ubat tradisional.

“Namun begitu, kami sedia bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat, sekiranya benar ada premis yang menjual secara haram, Kerajaan Negeri akan tidak teragak-agak untuk batalkan lesen mereka,” kata Ng Sze Han selepas majlis penyerahan lesen penjaja di Teluk Pulai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berkenaan gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengarahkan semua Ketua Polis Daerah (KPD) di seluruh negara memastikan kawasan masing-masing bebas daripada restoran haram menjual atau menyajikan makanan haiwan eksotik.

Pada 19 Ogos lalu, ketua polis negara itu berkata arahan tersebut dikeluarkan bagi membantu Perhilitan membanteras kegiatan pemburuan haram yang semakin berleluasa.


Pengarang :