Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit anjing baka pemburu ‘plott hound’.
AGENDANASIONAL

Bayi tujuh hari putus tangan digigit anjing peliharaan

MELAKA, 11 SEPT: Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit anjing peliharaan daripada baka pemburu ‘plott hound’ milik bapa saudara mangsa di Bachang, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata ketika kejadian kira-kira 9 pagi, bayi malang itu dijaga oleh ibu saudaranya berusia 39 tahun manakala ibunya yang masih dalam tempoh berpantang sedang berehat di tingkat atas rumah.

Beliau berkata ibu saudara bayi itu meletakkan mangsa di atas bantal berdekatan pintu pagar rumah yang ditutup rapat bagi menjemur mangsa yang mengalami masalah kuning.

“Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung itu baharu sahaja diberi susu oleh ibunya sebelum diambil makciknya ke ruang tamu untuk dijemur di bawah sinaran matahari dan dimandikan kira-kira 8.30 pagi.

“Mangsa kemudian dibawa makciknya ke ruang tamu di tingkat bawah berdekatan pintu pagar rumah untuk dijemur sebelum meninggalkannya seketika bagi mengambil air panas untuk memandikan bayi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata sebaik sahaja ibu saudara mangsa kembali ke tempat bayi tersebut dijemur, beliau melihat salah seekor anjing peliharaan suaminya sedang mengigit tangan kanan anak saudaranya yang ketika itu sedang menangis dengan kuat serta tangan berlumuran darah.

Susulan kejadian itu, wanita berkenaan menjerit dengan kuat sebelum ahli keluarga lain datang untuk melihat keadaan yang berlaku dan bergegas membawa bayi malang itu ke sebuah hospital swasta namun diminta merujuk bayi berkenaan ke Hospital Melaka.

“Mangsa terus dibawa ke zon merah untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan doktor pakar,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati anjing tersebut dibiarkan tanpa dirantai atau dikurung dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001/289 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :