Penduduk mendapatkan bekalan air dari tangki Pusat Khidmat Setempat (PKS) Air Selangor di Seksyen 4, Shah Alam pada 4 September 2020 berikutan gangguan bekalan air. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bekalan air pulih lebih 75 peratus

SHAH ALAM, 7 SEPT: Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah pulih sebanyak 75.31 peratus setakat jam 12.30 tengah hari ini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 973 kawasan sudah menerima bekalan manakala 319 masih dalam proses.

“Wilayah Hulu Selangor pulih 100 peratus, Kuala Selangor (99.25 peratus), Petaling (92.43 peratus), Gombak (76.64 peratus0 Kuala Lumpur (52.63 peratus), Kuala Langat (50 peratus) dan Klang/Shah Alam (38.42 peratus),” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Dalam pada itu, katanya, terdapat 55 kawasan masih belum pulih walaupun tersenarai dalam kawasan kumpulan satu yang sepatutnya menerima bekalan air pada jam 12 tengah malam tadi.

Justeru, Elina berkata pihaknya sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan tersebut.

“Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual.

“Air Selangor juga menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi betul dan tidak menyebarkan berita tidak sahih,” katanya lagi.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :