Sebanyak 78 lori tangki, 22 lori tangki besar, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat, lapan pili air awam disediakan untuk menyediakan air di kawasan terjejas
ADNSELANGOR

Bekalan air terus disalur ke DUN Subang Jaya

SHAH ALAM, 6 SEPT: Bantuan bekalan air terus disalur ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya melibatkan kawasan SS16, SS18 dan SS19, kata Ahli Dewan Negerinya.

Michelle Ng Mei Sze berkata lori tangki air digerakkan pagi ini terutama di SS16 kerana di sana terdapat pusat membeli belah Empire dan Subang Parade serta tiga pangsapuri.

“Pagi ini kita sudah hantar lori tangki air dan ia dijangka mencukupi sementara menanti bekalan pulih dalam tempoh beberapa jam lagi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan setakat ini hampir 90 peratus DUN terbabit menerima semula bekalan air sejak semalam dan dijangka pulih hari ini.

Tambahnya, bantuan dapat disalur di beberapa kawasan terjejas sejak 3 September hasil kerjasama dengan ketua komuniti.

Pengurusan Air Selangor memaklumkan bekalan air di dua wilayah hampir pulih setakat jam 7.30 pagi tadi.

Sehingga jam 6.30 pagi, bekalan air di 417 kawasan pulih sepenuhnya manakala 875 lagi masih dalam proses pemulihan.


Pengarang :