Selangorkini
Penduduk setempat keluar membeli barangan keperluan harian dengan mematuhi norma baru dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal ketika tinjauan di Pasar Nelayan Kubang Rotan pada 12 September 2020 pada hari ke-2 pelaksanaan PKPDP. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bekalan makanan kawasan PKPD cukup, usah bimbang – KPDNHEP

KUALA TERENGGANU, 12 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi di kawasan Kota Setar, Kedah dan Penjara Tawau, Sabah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata pihak KPDNHEP sentiasa memantau perkembangan dan stok makanan di kawasan terbabit bagi memastikan bekalan yang berterusan selain tiada kenaikan harga.

“Penduduk di kawasan PKPD tak perlu bimbang kerana pengalaman kita (kerajaan) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyeluruh pun kita mampu ‘handle’ (kendalikan).

“Jadi untuk PKPD ni kita rasa lebih mudah dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan,” katanya ketika menghadiri Majlis Jalinan Kasih dan Budi Alumni Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang, di sini hari ini.

Mengenai cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengenakan fi atau bayaran perkhidmatan kepada rakyat yang menggunakan platform e-dagang, Rosol berkata perkara itu masih di peringkat cadangan selain melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak lain.

“Tetapi dalam keadaan rakyat yang banyak tertekan, krisis kewangan, banyak yang hilang pekerjaan serta bekerja dengan bayaran separuh gaji, saya fikir kerajaan tidak akan lakukan sesuatu yang menambah beban rakyat,” katanya

Baru-baru ini KKMM mencadangkan fi sebanyak 20 sen bagi pembelian RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

-BERNAMA


Pengarang :