EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman bergambar bersama cek cura pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Ceria Atlet Selangor pada 3 September 2020. Foto: MSN Selangor
BERITA UTAMASELANGOR

Bekas juara silat dunia bangga terima bantuan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim terharu melihat kerjasama Kerajaan Negeri dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) membela nasib atlet melalui Program Ceria Atlet Selangor 2020.

Beliau berkata sepanjang menceburkan diri dalam bidang sukan bermula 1987 hingga 2000, Selangor menunjukkan usaha membantu atlet susah sehingga merasakan mereka dihargai.

“Saya terharu kerana jasa mewakili Selangor dan negara dipandang semula dengan mendapat bantuan.

“Ini menunjukkan masih ada yang prihatin dengan bekas-bekas atlet. Harap ini jadi penaik semangat generasi muda untuk terus bergiat dalam bidang sukan,” katanya selepas pelancaran program tersebut.

Bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim

Melalui inisiatif itu, 50 bekas atlet Selangor menjadi kumpulan pertama dibantu dengan peruntukan berjumlah hampir RM200,000.

Selain Zakri, beberapa bekas atlet negara turut menerima bantuan. Antaranya penyumbang pingat emas olahraga Sukan SEA 2003, Mohd Sharrulhaizy Abd Rahman; penyumbang emas acara berbasikal Sukan SEA 1997, Sorpihadi Shukri dan pemain hoki negara ke Olimpik pada 1972 dan 1976, R Pathmarajah.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata Selangor menjadi negeri pertama menjalin kerjasama dengan pihaknya bagi menjaga kebajikan atlet.

Katanya, idea EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menubuhkan program itu hanya mengambil masa dua bulan dan dilakukan bersungguh-sungguh.

“YB (Mohd Khairuddin) tergerak hati selepas lihat kesusahan atlet dan bulan lepas 50 atlet dah dikenal pasti untuk dibantu,” katanya.


Pengarang :