Keadaan benteng runtuh di Pantai Morib. Foto Ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMAPBTSELANGOR

Benteng pecah, orang ramai digesa jauhi Pantai Morib

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kawasan berhampiran kejadian benteng pemecah ombak yang runtuh di Pantai Morib ditutup untuk kerja baik pulih, kata ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata pihaknya menerima maklumat berhubung perkara tersebut pada jam 6.50 pagi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah segera menghalang orang ramai menghampiri lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal benteng sepanjang kira-kira 10 meter telah pecah pagi tadi tetapi kejadian ini tidak menyebabkan air melimpah serta menjejaskan penempatan berhampiran pantai.

Keadaan pesisir Pantai Morib. Foto Ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

“Namun orang ramai dinasihat menjauhi lokasi kejadian serta patuh arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam Dato’ Menteri Besar menasihat penduduk di lima daerah negeri ini tidak melakukan sebarang aktiviti di pesisiran pantai bermula 19 September ini hingga November berikutan fenomena air pasang
besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter (m).

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.


Pengarang :