AGENDANASIONAL

BIZZHALL2020 program bangunkan usahawan terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Yayasan Bank Rakyat semalam melancarkan program BIZZHALL2020 dalam usaha membantu usahawan berskala mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS) mengembangkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program inisiatif yayasan itu dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bertujuan memastikan kesinambungan serta kelestarian perniagaan berskala mikro dan IKS yang terjejas.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika berucap pada pelancaran program itu berkata pandemik Covid-19 banyak mengubah lanskap keusahawanan dan perniagaan apabila ramai peniaga tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Program BIZZHALL2020 ini membantu rakyat mengharungi era pasca-Covid-19, sekali gus membuktikan usaha pelbagai sektor yang sangat menyokong nilai-nilai keusahawanan dengan memfokuskan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Hari ini (semalam) kami menghimpunkan 13 agensi di bawah satu bumbung yang menawarkan pelbagai produk pembiayaan khusus bagi membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata antara agensi terlibat ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi pembiayaan Tabung Modal Pusingan berjumlah sehingga RM10 juta; Bank Rakyat (Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares – sehingga RM300,000); Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (Bumiputera Relief Financing – dari RM100,000 hingga RM1 juta); dan TEKUN Nasional (Skim Pembiayaan Tekun Niaga – dari RM50,000 hingga RM100,000).

Nazir Hussin berkata sehingga kini bilangan usahawan PKS yang berdaftar di negara ini ialah 907,065 syarikat dengan sejumlah 20.6 peratus merupakan usahawan wanita.

Sementara itu bercakap pada sidang media, Nazir Hussin berkata seramai 200 usahawan terpilih di tujuh lokasi lain akan dilatih dengan pelbagai kemahiran keusahawanan.

Program pertama ini melibatkan 253 peserta. Beliau berkata MEDAC turut memperuntukkan RM372.8 juta untuk pelan pemulihan usahawan Pascal Covid-19 yang dijangka dapat membantu 907,000 PKS mikro seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :