Keadaan jalan raya di pekan Kuala Selangor yang dilimpahi air susulan fenomena air pasang besar pada 20 September 2020. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bomba: Cuaca baik kurang risiko banjir ketika air pasang besar

SHAH ALAM, 20 SEPT: Keadaan cuaca baik ketika ini mengurangkan risiko banjir di kawasan yang terdedah dengan fenomena air pasang besar bermula semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata hujan lebat berpotensi menyebabkan air melimpah sekali gus menjejaskan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai.

“Pagi tadi air naik di pekan Kuala Selangor menyebabkan kesesakan jalan raya. Kita kesan air setinggi 5.7 meter pada jam 7.50 pagi.

“Bagaimanapun, keadaan terkawal dan banjir menyurut. Pemantauan di sekitar Kapar tidak menunjukkan sebarang risiko banjir,” kata Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.


Pengarang :