AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, indeks komposit lepasi paras 1,500 mata

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur dengan indeks utama meningkat 0.14 peratus kepada paras melebihi 1,500 mata semasa awal dagangan hari ini.

Pada 9.20 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.05 mata kepada 1,501.48 daripada 1,499.43 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 4.15 mata lebih rendah kepada 1,495.28.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 354 berbanding 201 manakala 351 kaunter tidak berubah, 1,175 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 820.14 juta unit bernilai RM351.69 juta.

Rakuten Trade berkata ia menjangkakan FBM KLCI mengalami lebih banyak tekanan jualan selepas merekodkan pergerakan melebihi paras 1,500 semalam.

“Peningkatan kes Covid-19 boleh mendorong pembelian di kaunter sarung tangan. Oleh itu, kami yakin indeks itu akan bergerak di antara julat 1,490 dengan 1,510 hari ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM7.22, TNB meningkat lapan sen kepada RM10.98, Public Bank naik enam sen kepada RM15.74, Petronas Chemicals dan Maxis masing-masing menokok empat sen kepada RM5.64 dan RM5.06, manakala Hong Leong Bank melonjak 12 sen kepada RM14.96.

Sime Darby Plantation, MISC dan Petronas Gas masing-masing tidak berubah pada RM5.05, RM7.45 dan RM16.60 sementara Top Glove turun tiga sen kepada RM7.97, Hartalega susut lapan sen kepada RM13.92 dan IHH Healthcare menguncup empat sen kepada RM5.24.

Bagi saham aktif, Bintai Kinden menambah 8.5 sen kepada 72 sen, Netx naik setengah sen kepada 1.5 sen manakala XOX, Pegasus Heights dan Vsolar masing-masing kekal tidak berubah pada 18.5 sen, 2.5 sen dan 4.5 sen sementara Metronic turun setengah sen kepada lapan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 5.22 mata kepada 10,767.7 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 6.34 mata kepada 12,746.36.

FBM 70 turun 28.98 mata kepada 13,858.18, Indeks FBMT 100 naik 5.33 mata kepada 10,591.26 dan FBM ACE menokok 19.86 mata kepada 10,974.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 30.30 mata kepada 12,517.82, Indeks Perladangan naik 3.30 mata kepada 7,138.63 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.33 mata kepada 135.8.

– BERNAMA


Pengarang :