Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove Meru, Klang pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, kaunter sarung tangan getah paling untung

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka negatif hari ini, berikutan petunjuk pasaran saham Amerika Syarikat yang ditutup rendah pada Khamis selepas sesi yang turun naik.

Bagaimanapun, kaunter sarung tangan getah meningkat semula dengan muncul sebagai kaunter paling untung secara menyeluruh.

Pada 9.48 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.26 mata kepada 1,489.86 daripada 1,490.12 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks utama dibuka rendah 3.89 mata kepada 1,486.23.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot 13 sen kepada RM7.37, Tenaga susut 24 sen kepada RM11.26 dan Petronas Chemicals berkurangan 12 sen kepada RM5.60.

Sementara itu, Top Glove dan Hartalega, masing-masing mencatatkan peningkatan semula, naik 61 sen kepada RM7.06 dan meningkat 30 sen kepada RM12.18.

Daripada senarai kaunter paling untung, selain daripada Top Glove dan Hartalega, Supermax melonjak 80 sen kepada RM6.90, Rubberex naik 75 sen kepada RM5.05, Careplus menambah 29 sen kepada RM2.31, Kossan meningkat 22 sen kepada RM9.92 manakala Comfort Glove menokok 24 sen kepada RM3.47.

Dalam nota hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata saham sarung tangan, yang menyaksikan tekanan jualan yang meningkat akhir-akhir ini, dijangka menyaksikan pemulihan teknikal.

Saham paling cergas termasuklah XOX, yang naik satu sen kepada 19.5 sen, manakala Pegasus Heights dan Sapura Energy, masing-masing meningkat setengah sen kepada tiga sen dan 11 sen, Permaju menambah 1.5 sen kepada 32.5 sen manakala Asian Pac tidak berubah pada 12.5 sen.

Senarai kaunter paling rugi didahului oleh Panamy, yang merosot 50 sen kepada RM28.30, manakala Petronas Dagangan susut 36 sen kepada RM20.42 dan MPI berkurangan 16 sen kepada RM16.42.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 13.95 mata kepada 10,622.88 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 68.49 mata kepada 12,441.32.

FBM 70 menambah 98.09 mata kepada 13,469.33, Indeks FBMT 100 naik 17.43 mata kepada 10,455.46 dan FBM ACE melonjak 334.74 mata kepada 10,032.25.

Mengikut sektor, Indeks Penjagaan Kesihatan naik 108.22 mata kepada 3,253.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 96.72 mata kepada 12,604.45.13 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.72 mata kepada 134.12.

Indeks Perladangan naik 7.12 mata kepada 7,029.22.

– BERNAMA


Pengarang :