AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah namun meningkat semula

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Bursa Malaysia dibuka susut seketika namun meningkat semula selepas pelabur terus memburu kaunter-kaunter saham yang berharga rendah.

Pada 9.30 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.77 mata kepada 1,513.84 berbanding 1,513.07 pada Khamis.

Sewaktu dagangan dibuka, indeks petunjuk utama itu susut 1.29 mata kepada 1,511,78.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 314 berbanding 247 manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,177 tidak diniagakan manakala 41 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.02 bilion unit bernilai RM715.82 juta.

Sementara itu, Malacca Securities berkata kehadiran semula ketidaktentuan yang dilihat semalam akan terus menjadikan pelabur berhati-hati dengan aktiviti pengambilan untung berkemungkinan mengehadkan kenaikan dalam masa terdekat.

FBM KLCI juga dilihat tidak berubah selepas mencatat kenaikan selama tiga hari berturut-turut, membolehkan pelabur menerima reaksi pulangan awal selain meneliti semula keadaan pasaran semasa.

“Kami melihat saham-saham pengguna berada di landasan pemulihan apabila perbelanjaan pengguna semakin ketara sejak kebelakangan ini, terutamanya berkaitan perabot yang menyaksikan peningkatan permintaan apabila semakin ramai bekerja dari rumah.

“Selain itu, peningkatan semula harga minyak dan minyak sawit mentah dijangka menarik minat dagangan kaunter saham-saham berkaitan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, harga minyak juga meningkat, dipacu oleh hasil positif susulan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC).

Ini berikutan OPEC dan sekutunya telah membayangkan bahawa mereka akan menjejaki negara-negara yang gagal mematuhi peraturan mengurangkan jumlah pengeluaran.

Dalam pada itu, saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Top Glove pulih daripada tekanan pada Khamis apabila meningkat 18 sen kepada RM7.97, Hartalega menambah 20 sen kepada RM14.30 dan IOI naik lima sen kepada RM4.44.

Maybank sebaliknya kekal rendah apabila susut satu sen kepada RM7.36 manakala Axiata berkurangan dua sen kepada RM3.03.

Selain itu, CME untung satu sen kepada 12.5 sen, MCT naik dua sen kepada 21 sen, Kanger tidak berubah pada 30 sen dan Nexgram turun setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 3.5 mata kepada 10,862.19 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 26.69 mata kepada 12,816.22.

FBM 70 turun 24.60 mata kepada 13,964.72, Indeks FBMT 100 susut 0.62 mata kepada 10,677.00 dan FBM ACE naik 17.07 mata kepada 11,163.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kekal dalam wilayah negatif apabila susut 42.39 mata kepada 12,692.46, Indeks Perladangan sebaliknya naik 14.48 mata kepada 7,112.18 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.18 mata kepada 135.73.

-BERNAMA

 


Pengarang :