AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut kurang minat belian

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi kemudiannya beransur bertukar menjadi rendah kerana kekurangan minat belian berterusan.

Pada 9.30 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.77 mata kepada 1,505.86 daripada 1,506.63 ketika ditutup Jumaat minggu lepas.

Indeks dibuka 3.79 mata lebih tinggi kepada 1,511.77.

Saham-saham untung mengatasi rugi 315 berbalas 307, manakala 369 kaunter tidak berubah, 1,093 tidak diniagakan dan 39 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 1.23 bilion unit bernilai RM495.54 juta.

Malacca Securities dalam nota penyelidikannya berkata kestabilan di bursa tempatan sudah dijangkakan di celah-celah kekurangan petunjuk baharu.

“Namun, kami percaya pergerakan kaunter berwajaran tinggi sarung tangan akan terus menentukan hala tuju indeks utama. Di tempat lain, kami menyaksikan aktiviti berpilih dalam kalangan kaunter saham murah terutama dalam situasi positif pada masa ini. Peniaga runcit pula, akan terus mencari pelaburan yang memberi pulangan tinggi,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM7.23, Top Glove meningkat tiga sen kepada RM8.01, TNB menambah 10 sen kepada RM11, Public Bank menokok enam sen kepada RM16 sementara Sime Darby Plantation kekal pada pada RM5.03.

Hartalega turun 16 sen kepada RM14, IHH Healthcare susut tujuh sen kepada RM5.26, Petronas Chemicals merosot tiga sen kepada RM5.57 dan Maxis lebih rendah empat sen kepada RM5.10.

Saham paling cergas pula, Metronic naik dua sen pada 10 sen, Sapura Energy meningkat satu sen kepada 12.5 sen, CME Group menambah 1.5 sen kepada 13 sen sementara Technodex tidak berubah pada 18.5 sen, HB Global turun satu sen kepada 20 sen dan Kanger International jatuh setengah sen kepada 29.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.8 mata kepada 10,834.82 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 13.54 mata kepada 12,823.53.

FBM 70 naik 2.8 mata kepada 14,034.83, Indeks FBMT 100 meningkat 3.53 mata kepada 10,648.21 dan FBM ACE melonjak 97.59 mata kepada 11,159.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 5.6 mata kepada 12,563.75, Indeks Perladangan meningkat 39.96 mata kepada 7,191.91 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.04 mata kepada 136.74.

– BERNAMA


Pengarang :