AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia diiktiraf bursa saham terbaik penyenaraian Islam

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Bursa Malaysia Bhd diiktiraf sebagai Bursa Saham Terbaik untuk Penyenaraian Islam oleh Islamic Finance News (IFN) menerusi Undian Penyedia Perkhidmatan IFN Tahunan kali ke-14 baru-baru ini.

Ia menjadi pengiktirafan untuk tahun kedua berturut-turut yang diraih Bursa Malaysia bagi kategori itu yang diperkenalkan pada 2018 bertujuan mengiktiraf bursa saham paling cemerlang bagi penyenaraian sekuriti patuh syariah dalam ekosistem yang membolehkan dan kondusif.

Mengulas pengiktirafan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata Malaysia diperakui oleh banyak pihak sebagai peneraju global dalam pasaran kewangan Islam, justeru, Bursa Malaysia berbangga dapat memainkan peranan penting dalam pertumbuhannya.

“Bersama-sama sokongan broker Islam kami, Bursa Malaysia akan terus mengembangkan dan menyediakan lebih banyak peluang patuh syariah kepada penerbit dan pelabur.

“Pengiktirafan global daripada IFN ini merupakan satu lagi kejayaan yang akan mendorong usaha berterusan kami untuk terus memesatkan dan memperkukuh kemampuan Bursa Malaysia di pasaran modal Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 31 Ogos, 2020 nilai pemodalan pasaran syariah berjumlah RM1.2 trilion atau 71.1 peratus daripada keseluruhah nilai pemodalan pasaran.

Sebagai bursa pasaran pesat membangun yang terkemuka, Bursa Malaysia menawarkan sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di Pasaran Utama, ACE dan LEAP.

Bagi tempoh yang sama, 715 atau 76.6 peratus daripada 933 syarikat yang tersenarai di bursa adalah patuh syariah, boleh didagangkan di Bursa Malaysia-i, platform pelaburan patuh syariah menyeluruh pertama di dunia.

Bursa Malaysia-i, yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan berkaitan bursa patuh syariah termasuk penyenaraian, dagangan, perkhidmatan pelunasan dan depositori, mengukuhkan kepemimpinan Bursa Malaysia sebagai pasaran global untuk penyenaraian dan pelaburan syariah.

– BERNAMA


Pengarang :