Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Caj kuarantin: Bukan warganegara perlu bayar, tempatan kekal subsidi

SHAH ALAM, 24 SEPT: Semua individu bukan warganegara yang masuk daripada semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin wajib bermula hari ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 melibatkan RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan.

“Bagi warganegara Malaysia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin.

“Mereka hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini, manakala kos pengoperasian sebanyak RM2,600 adalah kekal ditanggung oleh kerajaan,” kata Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manakala bagi anak yang berumur di bawah enam tahun kos penginapan adalah percuma.

Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki negara di bawah tanggungan sendiri.

Arahan itu dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal bukan warganegara sahaja.

 


Pengarang :