Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Cemar sungai: Wakil rakyat sokong naikkan denda, penjara mandatori

SHAH ALAM, 7 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) menyokong cadangan menaikkan denda maksimum RM1 juta ke atas pencemar sungai bagi mengelak insiden sama berulang.

Wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan turut menyarankan jumlah tersebut dinaikkan kepada RM2 juta termasuk hukuman penjara mandatori ke atas pelaku.

Mohd Sany Hamzan

“Kejadian pencemaran sungai semakin berleluasa kerana pelaku mengambil jalan mudah dengan melepaskan bahan kimia ke sungai tanpa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Alam Sekitar selepas mengaut keuntungan jutaan ringgit.

“Pelaku wajar dikenakan hukuman berat untuk memberi kesedaran kepada orang lain supaya tidak sesekali mencemarkan sumber air mentah di Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan denda maksimum untuk kesalahan pencemar sungai dinaikkan dari RM500,000 kepada RM1 juta melalui pindaan Enakmen Luas 1999.

Usul tersebut akan dibawa dalam sidang Dewan Negeri pada Oktober hingga November depan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata dua elemen perlu diambil kira iaitu menetapkan denda minimum RM200,000 dan hukuman penjara mandatori.

Michelle Ng Mei Sze bercakap kepada media ketika sidang media di Dewan Annex, Shah Alam pada 14 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun denda naik kepada RM1 juta, mahkamah boleh denda RM1, RM10 atau RM10,000. Jadi, kadar minimum perlu diletakkan sebagai panduan untuk menentukan jumlah sewajarnya.

“Mereka yang bersubahat seperti pemandu lori dan pelaksana arahan juga tertakluk kepada hukuman sama kerana tindakan mereka memudaratkan jutaan orang,” tegasnya.

ADN Banting Lau Weng San turut menganggap pindaan enakmen itu relevan dan perlu dilakukan lebih awal bagi mencegah gangguan bekalan air serius di negeri ini.

“Pindaan enakmen ini bukan sekadar menaikkan denda tetapi memasukkan hukuman penjara juga kerana mereka masih mampu membayar denda berkenaan,” katanya.

Lim Yi Wei bercakap kepada media ketika Lawatan ke rumah Datuk Ooi Eow Jin di Taman Sea, Petaling Jaya pada 27 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei pula menyifatkan denda maksimum RM1 juta bersesuaian dengan kesalahan pelaku jenayah memandangkan kadar sedia ada tidak memadai.

“Semasa proses pendakwaan, semua aspek perlu diambil kira dan kita kena buat mereka (pesalah) rasa sakit dan tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

 


Pengarang :