Selangorkini
Dinding parapet yang terjatuh daripada struktur binaan Lebuhraya Suke dan menghempap sebuah kereta di MRR2 pada 19 September 2020. Foto Twitter Bernama
AGENDA NASIONAL

CIDB siasat tiga aspek kes konkrit hempap kereta

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menyiasat tiga aspek utama berhubung insiden panel konkrit atau parapet Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang dalam pembinaan, menghempap kereta Sabtu lepas.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata tiga aspek itu melibatkan kaedah pembinaan, kualiti bahan binaan dan kemahiran serta akreditasi pekerja mahir terlibat.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 34B dan 34C Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) yang berkaitan kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan dijalankan.

“Jika didapati bersalah, kontraktor boleh didenda tidak melebihi RM500,000. Pihak lain termasuk tuan punya projek (klien) serta syarikat perunding juga boleh turut didakwa jika didapati bersalah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, media melaporkan insiden panel konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan.

-BERNAMA


Pengarang :