Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 14 kes baharu, 10 jangkitan tempatan

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Jumlah kes baharu Covid-19 melibatkan penularan tempatan sekali lagi direkodkan lebih tinggi berbanding kes import dengan 10 kes hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata bagi kes import pula hanya empat kes direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu hari ini adalah 14.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,374 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 163 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kes penularan tempatan terus melebihi kes import untuk tiga hari berturut-turut sejak 1 September dengan sembilan kes dan 2 September (enam kes).

Memperincikan kes penularan tempatan, Dr Noor Hisham berkata enam kes melibatkan warga tempatan dan empat bukan warganegara.

“Sebanyak empat kes di Kedah iaitu tiga daripada kluster Tawar dan kluster Telaga (satu) serta dua di Sabah membabitkan kluster Benteng LD. Empat lagi kes melibatkan bukan warganegara di Sabah adalah daripada kluster Benteng LD.

“Bagi empat kes import pula, ia melibatkan tiga dari Singapura dan satu dari Filipina,” katanya.

Sementara itu, terdapat empat kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya adalah 9,083 kes atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kematian dilaporkan pada hari ini dan jumlah maut akibat wabak itu kekal sebanyak 128 kes.

Sehingga hari ini, hanya empat kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

– BERNAMA


Pengarang :