Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Media bersama Ketua Pengarah Kesihatan “Kesiapsiagaan KKM Dalam Menangani Pandemik COVID-19” di Kementerian Kesihatan pada 29 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 24 kes baharu, 18 penularan tempatan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kes baharu Covid-19 kembali kepada dua digit apabila 24 kes dilaporkan hari ini membabitkan 18 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 16 daripada 18 kes penularan dalam negara adalah warganegara Malaysia manakala baki warga asing.

“Sebanyak 13 kes warga tempatan di Kedah melibatkan kluster Sungai manakala satu kes masing-masing kluster Tawar, kluster Telaga dan kes saringan bergejala di Hospital Sultanah.

“Dua kes bukan warganegara adalah daripada kes kluster Benteng, Lahad Datu di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata enam kes import membabitkan tiga rakyat tempatan dan tiga warga asing yang mendapat jangkitan dari Bangladesh (satu di Negeri Sembilan dan Wilayah Kuala Lumpur) manakala China (satu kes di Sabah), Indonesia (satu di Sarawak) serta Korea Selatan (satu di Selangor).

Perkembangan itu menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 9,583 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 312 kes

Tujuh pesakit pulih menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,143 kes dan tujuh kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini dan jumlah kematian kekal 128.


Pengarang :