Selangorkini
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 49 kes baharu di Singapura, keseluruhan 57,406

SINGAPURA, 13 SEPT: Laporan awal Kementerian Kesihatan Singapura hari ini menunjukkan tambahan 49 kes baharu jangkitan Covid-19 di negara republik itu, dengan lapan daripadanya melibatkan kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan hari ini, menurutnya semua kes import telah diberikan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura, dan berdasarkan siasatan sehingga kini, hanya satu kes dikesan dalam komuniti yang melibatkan seorang pemegang pas kerja.

Susulan laporan kes baharu, jumlah jangkitan secara keseluruhan kini menjangkau kepada 57,406.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 983 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,237 sebagai kes komuniti, dan 54,137 melibatkan penghuni asrama.

Menurutnya 56,699 pesakit sembuh sepenuhnya, dan 54 kes disahkan yang masih di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi, manakala 577 pesakit dengan simptom ringan atau sihat secara klinikal tapi masih positif Covid-19 diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Tiada kluster baharu dikesan semalam, dan sehingga kini 27 meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan Covid-19 di Singapura.

-BERNAMA


Pengarang :