Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 57 kes baharu hari ini termasuk 49 di Sabah

SHAH ALAM, 21 SEPT: Sebanyak 57 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan 51 daripadanya merupakan jangkitan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan 10,276 kes dengan 751 daripadanya merupakan kes aktif.

“Penularan tempatan melibatkan 49 kes di Sabah antaranya dari Kluster Pulau, Selamat, Benteng LD, Kuarters (kluster baharu), kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Queen Elizabeth dan kes saringan bergejala di hospital sama.

“Kes berikutnya saringan tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, saringan pelatih pusat rehabilitasi, saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, pesakit Influenza (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau, saringan kontak rapat kepada kes ke-9,390 dan saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu serta saringan rujukan ke Hospital Tawau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes lain melibatkan penularan tempatan dilaporkan daripada Kluster Sungai di Kedah dan saringan pembedahan Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, terdapat 40 kes pulih dan dibenar keluar hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 9,395 iaitu 91.43 peratus.

“Sembilan pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 130 kes,” katanya.


Pengarang :