AGENDAEKONOMINASIONAL

Covid-19 beri kesan reka bentuk perumahan jangka panjang

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Perunding hartanah global bebas, Knight Frank menekankan pandemik Covid-19 boleh memberi kesan ke atas penawaran jangka pendek dan reka bentuk perumahan jangka panjang di seluruh dunia.

Menurut kaji selidiknya yang dijalankan dalam kalangan 160 pemaju global di 22 negara, hampir enam daripada 10 pemaju global menangguhkan projek mereka berikutan penularan virus, yang memutuskan rantaian bekalan dan menyebabkan pihak borong memikirkan semula mengenai cara dan lokasi yang ingin didiami orang.

Bagi yang mempunyai projek tertangguh, lebih empat daripada 10 pemaju sedang melakukan perubahan ke atas reka bentuk yang sebelum ini dianggap siap, menurutnya dalam kenyataan.

Walaupun pemaju mungkin mengekang keinginan untuk membentuk semula pembangunan secara radikal pada peringkat awal, namun kaji selidik Knight Frank mendapati wujud keinginan untuk mempertimbangkan perubahan berpotensi susulan Covid-19 termasuk bagi ruang untuk rumah pejabat; kehidupan lebih sihat dan hijau; tarikan bandar, skim penggunaan bercampur-campur; berhampiran rumah dan paparan maya.

Sekutu Knight Frank, Flora Harley berkata kaji selidik itu juga meneliti beberapa kekangan terbesar yang dihadapi pemaju iaitu pendanaan, dengan kurang satu pertiga responden mengatakan ia menjadi kebimbangan utama mereka.

Beliau berkata kekangan seterusnya ialah ancaman percukaian dan pengawalseliaan lanjutan ke atas pasaran hartanah serta sekatan perancangan dan perjalanan namun pada tahap lebih rendah memandangkan sekatan akan diatasi dalam jangka terdekat.

“Bagi masa depan, dua mesej yang jelas iaitu bagi pemaju, Covid-19 mempercepatkan trend yang sudah sedia wujud dalam projek binaan baharu, sementara bagi pembeli pula fleksibiliti adalah kuncinya.

“Pembeli mencari ruang penghidupan serba boleh yang menyokong kerja yang cekap, dan pada masa sama membolehkan pengasingan untuk kehidupan berumah bagi menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan,” kata Pengarah Bersekutu, Pemasaran Projek Kediaman Antarabangsa, Knight Frank Malaysia, Dominic Heaton-Watson.

-BERNAMA


Pengarang :