Selangorkini
Pelajar memakai pelitup muka selepas pemerintah Indonesia membuka kembali sesi persekolahan dengan melaksanakan proses pembelajaran secara bersemuka di tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19 di Bekasi, di pinggiran Jakarta, Indonesia pada 13 Julai 2020. Foto REUTERS
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Indonesia catat 4,465 kes baharu, keseluruhan 257,388

JAKARTA, 23 SEPT: Indonesia mencatatkan 4,465 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sehingga kini sejak kes pertama dikesan di republik itu pada 2 Mac lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, keseluruhan kes positif kini berjumlah 257,388 manakala 109,541 pesakit masih lagi dalam pemantauan virus berbahaya berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 140 kematian dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kini 9,977 kematian.

Provinsi Jakarta, yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula 14 September lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 65,687 kes dengan tambahan 1,133 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,035 orang diikuti Jakarta (1,628), Jawa Tengah (1,334) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA


Pengarang :