Tiub ujian dengan label nama virus Corona dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes baharu cecah tiga angka, 85 jangkitan dalam negara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kes baharu Covid-19 meningkat kepada tiga digit selepas 100 kes dilaporkan hari ini dengan 85 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 62 kes melibatkan banduan di Sabah dalam kluster Benteng LD, manakala 23 kes dari kluster Sungai (22 dicatatkan di Kedah dan satu di Perlis).

“Sebanyak 15 kes import turut dilaporkan dengan 11 dari India, dua dari Indonesia manakala satu kes masing-masing dari Pakistan dan Filipina.

“Jumlah keseluruhan 9,559 kes. Bilangan kes aktif naik mendadak daripada 207 kepada 295 kes namun sudah diasing dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), empat memerlukan bantuan pernafasan.

“Seramai 12 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah sembuh 9,136 kes iaitu 95.6 peratus.

“Tiada kematian baharu. Jumlah keseluruhan kekal 128 kes iaitu 1.34 peratus,” katanya.


Pengarang :