Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM kesan satu lagi kluster baharu di Pulau Pinang

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di Pulau Pinang iaitu Kluster Ara apabila dua individu dijangkiti Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dikesan positif melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Sandakan, Sabah pada 15 September lalu berikutan kedatangan kes dari Semenanjung.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan satu kes positif dikenal pasti pada 19 September (semalam) iaitu kes ke-10,217 ialah anak saudara kepada kes indeks. Pesakit dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan sehingga 12 tengah hari tadi seramai 16 individu sudah disaring dan 14 daripadanya dikesan negatif wabak berkenaan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyahkuman dan pembersihan dijalankan di lokasi terlibat. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.


Pengarang :