Gambar Hiasan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: MTUC gesa gubal dasar larang buang pekerja

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa supaya polisi penggajian lebih efektif yang boleh melindungi kehidupan pekerja ditampilkan, dan membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih baik.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata kerajaan juga harus memperkenalkan Peraturan Penggajian Kecemasan yang melarang majikan memberhentikan pekerja sehingga ekonomi negara pulih daripada pandemik Covid-19.

“Ini akan membantu menjamin pekerjaan bagi pekerja, sesuatu yang sangat mereka perlukan pada masa-masa sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata meskipun terdapat kenaikan gaji pada 2009, pekerja masih dibelenggu kesusahan, kerana menurutnya kenaikan gaji dan pendapatan 4.4 peratus pada 2019 seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan semalam, hanya menunjukkan peningkatan RM137.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan semalam berkata purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat daripada RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 atau 4.4 peratus pada 2019.

“MTUC menganggap kenaikan itu jauh di bawah apa yang diperlukan oleh rata-rata pekerja Malaysia dan keluarga mereka, terutama yang berada di kawasan bandar untuk bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan,” kata Solomon.

-BERNAMA


Pengarang :