Suasana lengang di sekitar Kampung Nelayan Seberang Kota Kuala Kedah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara Pentadbiran (PKPD) di Daerah Kota Setar bermula 11 September sehingga 25 September. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Pergiat tindakan kesihatan awam, turunkan nilai R-Naught

PUTRAJAYA, 16 SEPT: Tindakan kesihatan awam perlu dipergiat bagi memastikan nilai R-Naught (Rt) dapat dikurangkan sehingga kurang daripada 1.0 sekali gus mengurangkan transmisi dan kebolehjangkitan Covid-19 di dalam komuniti.

Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata nilai terkini pada 13 September adalah 1.58 dan jika diteliti nilai Rt bagi negeri Sabah pula, pada 8 September ianya adalah amat tinggi, iaitu pada nilai 3.72.

“Ini adalah lebih tinggi berbanding nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 2.63. Hasil tindakan kesihatan awam yang giat dijalankan telah menurunkan sedikit nilai ini bagi kedua-dua negeri dan pada 13 September, nilai Rt bagi negeri Sabah adalah 1.70, iaitu hampir dengan nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 1.58,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19, semalam.

Namun begitu katanya, nilai ini masih kekal melebihi 1.0 bagi kedua-dua negeri, dan seterusnya memberi kesan kepada nilai Rt bagi negara.

Antara tindakan kesihatan awam yang diambil kementerian ialah pengesanan kes aktif, saringan dan pensampelan, survelan kes risiko tinggi iaitu golongan warga emas dan pekerja sektor industri tertentu, kuarantin kes-kes individu di bawah pengawasan (PUS), penilaian risiko di lapangan dan survelan Influnza Like Illness ILI , Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan ujian prapembedahan.

Justeru, beliau berkata tindakan dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat adalah diperlukan dengan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau menasihatkan supaya masyarakat agar kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan di luar rumah, memastikan penjarakan fizikal, basuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta memakai pelitup muka ketika di tempat awam, terutama yang sesak dan sempit.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi terkini di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Kedah, Kementerian Kesihatan Malaysia mengganggarkan 15,000 individu disaring dari 10 mukim yang telah dikenal pasti berisiko tinggi yang terlibat dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga.

“Sehingga kini, sebanyak 12,885 warganegara telah disaring, iaitu 11,757 individu negatif dan 1,128 individu masih menunggu keputusan,”katanya.

Manakala bagi PKPD secara pentadbiran di tiga zon dalam Amanjaya, seramai 13,591 penduduk telah disaring sehingga hari ini yang terdiri daripada 13,526 warganegara dan 65 bukan warganegara.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan saringan, 16 kes positif dalam kalangan warganegara telah dikesan, termasuk 13 kes saringan kali kedua di Zon Melur.

Susulan itu katanya, PKPD secara pentadbiran di Zon Melur telah dilanjutkan sehingga 27 September bagi membendung penularan pandemik itu.

-BERNAMA


Pengarang :