Anggota polis ketika pemeriksaan dalam sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Daerah Kota Setar bermula 11 hingga 25 September di Kota Sarang Semut, pada 23 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: PKPDP Secara Bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPDP) Secara Bersasar dilanjutkan hanya di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak sehingga 7 Oktober hadapan.

Menteri kanan keselamatan berkata ia berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kawasan berkaitan masih berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 walaupun PKPDP dilaksana di daerah Kota Setar, Kedah sejak 11 September lalu ditamatkan hari ini.

“Seramai 94 orang penduduk di lokasi tersebut telah disaring dan sembilan daripadanya didapati positif Covid-19 yang melibatkan lima buah rumah.

“Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi membolehkan saringan kedua dilakukan KKM,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama juga akan ditutup bermula esok sehingga 9 Oktober.

Katanya, anggota polis dan tentera akan membuat kawalan pergerakan bagi memastikan semua penduduk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan perintah kuarantin di rumah.


Pengarang :