Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Satu lagi kematian daripada kluster Tawar

SHAH ALAM, 1 SEPT: Satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, berturut-turut sejak kelmarin menjadikan keseluruhan sebanyak 128 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes dari kluster Tawar membabitkan warga emas tempatan berusia 80 tahun yang menghidap barah paru-paru serta darah tinggi.

“Kes ke-9,174 ini dilaporkan 15 Ogos lalu. Beliau bergejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos sebelum dimasukkan ke pusat perubatan. Beliau disahkan meninggal dunia jam 10.38 pagi tadi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari tadi, 14 kes baharu dilaporkan dengan sembilan penularan tempatan.

Katanya, tujuh kes membabitkan kluster baharu, Benteng LD yang dikesan di Sabah hari ini manakala dua lagi direkodkan di Kedah.

“Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,354 kes dengan 151 kes aktif.

Lima pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini 21 kes disahkan pulih dan dibenarkan kelur hospital. Jumlah sembuh meningkat 9,075 kes iaitu 97 peratus,” katanya.


Pengarang :