Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 8 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Satu lagi kluster baharu dikesan di Tongod, Sabah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Kuarters di Tongod, Sandakan, Sabah, menjadikan kluster keenam di negeri itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat hari ini terdapat lima kes positif dikesan di dalam kluster itu dan ia dikenal pasti melalui hasil saringan yang dijalankan di sekitar Daerah Tongod selepas saringan Covid-19 mendapati seorang petugas kesihatan positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September lepas.

“Saringan di sekitar Daerah Tongod yang bermula pada 6 September telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut.

Kesemua kes positif (iaitu kes ke-10,253 hingga ke-10,257) dalam kluster ini merupakan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster itu, seramai 117 individu telah disaring setakat ini dengan 112 masih menunggu keputusan, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Klinik Kesihatan Tongod. Semua pesakit yang mempunyai temu janji di klinik tersebut telah dirujuk ke Klinik Kesihatan yang berdekatan.

“Perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tongod akan bermula semula setelah aktiviti nyah kuman dan proses pembersihan tamat,” katanya.

Mengenai perkembangan beberapa kluster Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata daripada 57 kes baharu hari ini, 14 kes melibatkan Kluster Pulau menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 29 kes (26 warganegara dan tiga rakyat Filipina).

Beliau berkata sehingga hari ini, seramai 451 individu disaring melibatkan 371 di Kunak, termasuk 14 kes baharu hari ini, dan 80 di Semporna.

Mengenai perincian Kluster Selamat, beliau berkata terdapat 12 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 19 kes dengan 215 individu disaring setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat lima kes baharu Kluster Benteng LD yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 583 kes dan 9,610 individu telah disaring.

“Bagi Kluster Sungai pula, hanya satu kes baharu di Kedah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 74 kes dengan 24,699 individu disaring setakat 12 tengah hari ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :