AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat 11 kes baharu, keseluruhan kini 57,665

SINGAPURA, 25 SEPT: Singapura yang masih dalam rundingan dengan Malaysia bagi membuka semula sempadan untuk mereka yang berulang-alik antara kedua-dua negara, mencatatkan 11 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

Dengan bilangan kes jangkitan terkini, jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 57,665.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata terdapat dua kes import yang diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatannya setakat ini, kementerian itu berkata tiada kes dalam komuniti.

Kementerian itu berkata ia sedang meneliti kes-kes dan data yang dikemas kini dijangka dikeluarkan malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu mendedahkan daripada 15 kes yang dilaporkan, 13 didapati tidak bergejala dan dikesan menerusi saringan dan pemantauan proaktif sementara dua lagi bergejala.

MOH mengklasifikasikan 1,034 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,244 kes komuniti dan 54,376 melibatkan penghuni asrama.

Kementerian itu berkata 57,333 kes sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sejumlah 28 kes disahkan masih lagi berada di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sementara itu, 266 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat tetapi masih positif dalam saringan Covid-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Walaupun tiada kluster baharu dikenal pasti semalam, sebuah kluster berkaitan sebuah asrama di 15 Kaki Bukit Crescent telah ditutup kerana tiada lagi kes dalam tempoh inkubasi 28 hari lepas.

– BERNAMA


Pengarang :