Orang awam berjalan melintasi Johor dan Singapura ketika kedua-dua negara memperketatkan kemasukan ke negara masing-masing ekoran Covid-19 pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Skim aturan ulang alik Malaysia-Singapura catat satu kes

KOTA TINGGI, 6 SEPT: Satu kes Covid-19 direkodkan di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) perjalanan rentas sempadan Malaysia dan Singapura yang dilaksanakan sejak 17 Ogos lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata bagi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), tiada kes dilaporkan berlaku setakat ini.

“Imported case (kes import)… ada satu positif di bawah PCA dan sudah dirawat.

“Apabila dikenal pasti positif, apa yang kita buat ialah mengendalikan kes ini dengan cepat iaitu siasat perjalanan mereka dan juga kontak rapat. Jika didapati kontak ada di Malaysia, mereka akan diisolasi, malah pihak Singapura juga akan dimaklumkan bahawa mereka perlu cari kontak rapat yang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Kesihatan Sungai Rengit, di sini hari ini.

Beliau berkata individu yang disahkan positif itu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 35 tahun dan bekerja di Singapura, yang pulang ke negara ini di bawah skim PCA pada 29 Ogos lepas.

Dr Adham berkata lelaki terbabit yang tidak bergejala didapati positif Covid-19 pada 2 September telah dimasukkan ke sebuah hospital di negeri ini dan kini berada dalam keadaan stabil.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata sejak 17 Ogos hingga hari ini, seramai 2,647 individu di bawah PCA dan 815 bagi RGL direkodkan memasuki negara ini dari Singapura.

Pelaksanaan Skim RGL dan PCA bertujuan menangani keperluan kumpulan berbeza yang melakukan perjalanan rentas sempadan di antara Malaysia dan Singapura.

Terdahulu, beliau berkata Klinik Kesihatan Sungai Rengit adalah satu-satunya klinik kesihatan di negara ini yang mempunyai kelengkapan 10 katil di Unit Kecemasan bagi menampung keperluan kes kecemasan di kawasan sekitar, terutamanya di kawasan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Kompleks Bersepadu Pengerang.

-BERNAMA

 


Pengarang :