AGENDANASIONAL

Cub Prix: Azroy muncul juara, selesa dahului kedudukan CP150

SHAH ALAM, 19 SEPT: Azroy Hakeem Anuar mudah menyempurnakan misinya di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Terengganu apabila bergelar juara kelas CP150 pada saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS hari ini.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu sekali lagi mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu di litar sama apabila mengungguli perlumbaan akhir dengan catatan masa 16:40.336 saat (s).

Ternyata, litar sepanjang 1.371 kilometer itu memang gelanggang kegemaran pelumba asal Selangor itu dengan semuanya berjalan lancar bermula daripada sesi kelayakan menyaksikannya muncul pelumba terpantas semalam seterusnya meneruskan rentak cemerlang bagi mengotakan janji berada di podium kemenangan hari ini.

“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan terbaik. Keadaan jentera juga mantap selain perasaan positif untuk memimpin perlumbaan. Semuanya berjalan lancar dan saya gembira dan sangat berterima kasih kepada seluruh krew pasukan yang bekerja keras untuk kejayaan ini,” kata Azroy dalam kenyataan.

Dengan kemenangan itu, Azroy kini terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan meraih 81 mata, diikuti Helmi Azman yang sudah mengumpul 66 mata.

Tempat kedua perlumbaan akhir dimenangi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Aiman Tahiruddin dengan merekod masa 16:41.346s manakala tempat ketiga Md Helmi Azman (HI REV SCK Honda Racing) dengan masa 16:43.825s.

Kelas CP126 pula menyaksikan kebangkitan juara keseluruhan kategori Wira musim lalu, Md Aliff Danial Md Asri yang kini menggalas cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Aliff muncul juara kelas baharu diperkenalkan musim ini dengan 13:06.521s manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Md Adib Rosley (IPONE Yamaha YYPANG Racing Team) 13:09.390s dan Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR SAG Team) 13:15.210s.

Begitupun, kedudukan keseluruhan masih dipegang pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Md Shafiq Rasol dengan 67 mata diikuti rakan sepasukan, Md Hafiza (57 mata).

Sementara itu, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Rahimi Nabil Razu tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila muncul juara perlumbaan akhir kelas Wira dengan catatan masa 10:47.161s seterusnya mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan dengan 78 mata.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan Boss Susu Motorsports, Md Haziq Rosmaza (10:48.380s) diikuti tempat ketiga, Md Aeiman Hafidz Shahril (ONEXOX SAG Team) (10:50.874s).

Selepas ini, Litar Lumba Tangkak, Johor akan menjadi destinasi Pusingan 5 pada 10 hingga 11 Oktober nanti.


Pengarang :