AGENDAEKONOMINASIONAL

Dagangan Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Dagangan di Bursa Malaysia minggu depan disasar bergerak rendah dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,500 hingga 1,520.

Pada masa sama, para pelabur pula akan memberi tumpuan kepada mesyuarat dasar monetari Bank Negara yang akan menyemak kembali kadar dasar semalaman (OPR).

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berpendapat sebarang pengurangan kadar OPR akan menjurus kepada risiko menurun untuk sektor perbankan.

“Indeks Kewangan Bursa Malaysia yang termasuklah sektor perbankan setakat ini, telah merosot hampir 20 peratus tahun ini,” kata beliau kepada Bernama.

Adam berkata kemungkinan munculnya aktitviti belian saham murah untuk kaunter berkaitan teknologi minggu depan, kebanyakannya akan didominasi oleh pelabur runcit.

Sektor ini meningkat kira-kira 25 peratus sejak Julai tahun ini dan para penganalisis merasakan aktiviti penjualan adalah satu pembetulan yang sihat selepas merekodkan keuntungan tinggi.

Sementara itu, pada urus niaga Khamis, Wall Street AS mencatatkan penurunan terbesar satu hari dalam tempoh hampir tiga bulan.

Komposit Nasdaq jatuh menghampiri 4.96 peratus kepada 11,458.10, Dow Jones merosot 2.78 peratus kepada 28,292.73 dan S&P susut 3.51 peratus kepada 3,455.06.

Dalam pada itu, sektor penjagaan kesihatan yang agak stabil sejak sekatan pergerakan Covid-19 turut mengalami tekanan jualan dengan syarikat-syarikat seperti Supermax, Kossan Rubber dan Top Glove mendahului saham paling rugi.

Selain saham teknologi, Adam juga berkata kemungkinan adanya kegiatan spekulatif untuk saham kewangan menjelang mesyuarat OPR.

Mengimbas kembali, bank pusat melaksanakan pengurangan OPR sebanyak empat kali berjumlah 125 mata asas sejak awal tahun ini.

Untuk urus niaga minggu ini, indeks FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah berikutan aktiviti pengambilan untung ke atas sektor penjagaan kesihatan.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI ditutup 9.35 mata lebih rendah kepada 1,515.86 pada Jumaat berbanding 1,525.21 minggu sebelumnya.

Di papan skor, indeks FBM Emas merosot 113.28 mata kepada 10,972.30, Indeks FBMT 100 turun 116.21 mata kepada 10,770.54 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih rendah 156.83 mata kepada 13,009.82.

Indeks FBM 70 menguncup 349.21 mata kepada 14,398.18 dan Indeks FBM ACE berkurangan 173.22 mata kepada 10,806.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.91 mata kepada 12,637.86 tetapi Indeks Perladangan lebih tinggi 5.97 mata kepada 7,063.25 dan indeks Teknologi naik 0.47 mata kepada 57.26.

Indeks Penjagaan Kesihatan pula lemah 365.30 mata kepada 3,857.01 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.43 mata kepada 136.93.

Jumlah dagangan mingguan mengecil kepada 38.44 bilion unit bernilai RM20.48 bilion daripada 57.16 bilion unit bernilai RM33.39 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 21.27 bilion saham bernilai RM16.04 bilion daripada 32.00 bilion saham bernilai RM25.44 bilion.

Jumlah dagangan waran lebih rendah kepada 2.26 bilion unit bernilai RM674.15 juta daripada 3.05 bilion unit bernilai RM920.78 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran Ace pula menguncup kepada 14.88 bilion saham bernilai RM3.76 bilion berbanding 22.05 bilion saham bernilai RM7.0 billion.

-BERNAMA


Pengarang :