AGENDANASIONAL

Data eksport Julai pamer tanda pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Eksport Malaysia meningkat 3.1 peratus pada Julai, walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding 8.0 peratus pada Jun, sejajar dengan jangkaan pasaran.

Kenanga Research berkata eksport bulan ke bulan menyederhana pada bulan lepas setelah berkembang pada kadar terpantasnya sejak April 1997.

“Namun, dari segi nilai, ini juga merupakan eksport kedua tertinggi pada RM92.5 bilion berbanding RM82.8 bilion pada Jun selepas merekodkan paras tertinggi pada Oktober 2018, menandakan ekonomi pulih secara beransur-ansur daripada kemerosotan pada suku kedua,” kata firma penyelidikan itu dalam laporan ekonominya.

Data juga menunjukkan permintaan dari China perlahan, walaupun situasi itu diimbangi sedikit oleh peningkatan eksport ke Amerika Syarikat dan Singapura.

“Eksport ke China merosot kepada 13.9 peratus berbanding 46.8 peratus pada Jun apabila eksport jatuh ke paras terendahnya dalam tempoh dua bulan, disebabkan terutamanya oleh kesan asas yang tinggi,” kata Kenanga Research.

Sementara itu, CGS CIMB, dalam nota ekonominya berkata kekuatan eksport Malaysia didorong oleh eksport sektor perkilangan yang meningkat 4.7 peratus serta sektor pertanian yang naik 30.4 peratus sejajar dengan lonjakan 57.2 peratus lemak dan minyak sayuran.

– BERNAMA

 


Pengarang :