Empat sekawan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta di stesen minyak di Sama Gagah. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Dua maut, dua lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida

BUTTERWORTH, 17 SEPT: Dua wanita maut manakala dua lagi rakan mereka yang juga pasangan kembar berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami keracunan karbon monoksida, selepas mereka tertidur dalam kereta semasa berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi tadi, dan dua yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayuni Shazwanie Shabri manakala pasangan kembar yang kritikal Nor Adilah Mohd Safwan dan Nor Aqilah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu pergi ke Pulau Jerejak sempena cuti umum Hari Malaysia semalam, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.

“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya hari ini.

Katanya, menurut ibu kepada Ayuni, anaknya menghantar mesej kepada beliau pada pukul 9.15 malam tadi memaklumkan berada di stesen minyak itu untuk berehat sebentar, namun sehingga pukul 11 malam tadi Ayuni tidak pulang ke rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, menyebabkan dia mulai bimbang.

Shafee berkata bapa Ayuni pergi ke stesen minyak itu untuk mencari anaknya sebelum menemui kereta dinaiki mereka, namun empat rakan baik itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan enjin kenderaan masih hidup, manakala pintu dan tingkap tertutup.

Katanya, sebaik sahaja ambulans tiba di lokasi pada pukul 1.00 pagi, Sharifah Fariesha Syed Fathi yang merupakan penumpang hadapan didapati telah meninggal dunia, manakala Ayuni Shazwanie pula dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Beliau berkata dua pasangan kembar yang berasal dari Taman Ria Mesra di Gurun itu kini menerima rawatan di HSJ dan keadaan mereka kritikal.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup di stesen minyak itu mendapati kenderaan dinaiki mereka tiba di kawasan parkir itu pada pukul 8.30 malam, dan terdapat pergerakan keluar beberapa penumpang untuk membeli makanan sebelum mereka masuk semula ke dalam kereta, dan tidak lagi keluar sehingga mayat ditemukan,” katanya.

Katanya kes itu disiasat sebagai mati mengejut kerana setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Sementara itu, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha yang ditemui di bilik mayat HSJ, Nor Jamilah Ahmad berkata anak saudaranya itu merupakan anak tunggal kepada kakak dan abang iparnya malah beliau sangat rapat dengan arwah yang dipanggil Fariesha itu.

“Mereka (empat orang) memang rakan baik dan baru habis belajar di sebuah kolej swasta di Batu Caves, Selangor dalam bidang kejururawatan, Fariesha baru bekerja di sebuah klinik swasta dan arwah sangat teruja untuk keluar bersama tiga kawannya itu semalam kerana mahu berjalan-jalan di Pantai Jerejak.

Wanita berusia 30-an itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi ibu Fariesha yang memaklumkan anak saudaranya itu tidak pulang ke rumah di Amanjaya di Sungai Petani selepas lewat malam sebelum dia menghubungi rakan-rakan arwah.

“Kami baru hendak keluar mencari Fariesha sebelum tunangnya menghubungi saya semula memaklumkan mereka semua ditemui namun perlu ke hospital, saya memang terkejut dan terus ke HSJ.. sebaik sampai kami dimaklumkan dia telah meninggal, ibu arwah terus rebah kerana sangat terkejut,” katanya.

Menurutnya jenazah anak saudaranya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang selepas solat Asar hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :