Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Pembangunan Komuniti (PPK ) DUN Sentosa di Taman Mewah, Klang pada 26 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Sentosa wujud Pusat Pembangunan Komuniti

KLANG, 26 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa melakar kejayaan apabila mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) yang dilengkapi akses internet bagi kemudahan pelajar.

Ahli Dewan Negerinya, G Gunarajah berkata ruang khas itu juga boleh dimanfaatkan persatuan penduduk atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan mesyuarat, seminar dan latihan secara percuma.

“Kita menyewa satu lagi bangunan baharu untuk membuka pusat ini. Komuniti setempat dan sukarelawan bersama-sama mengecat serta mencantikkan lagi tempat ini supaya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada Biro Pendidikan yang bertungkus lumus mewujudkan ini (PPK) dan percaya kerja keras bakal memberi manfaat kepada warga Sentosa,” katanya pada Pelancaran Cakna Siswa dan PPK hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Cakna Siswa pula memberi peluang kepada pelajar di kawasan itu mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Kita sentiasa prihatin dengan golongan siswa dan siswi, jadi ruang pelajaran disediakan kepada mereka dengan menggunakan segala fasiliti di sini (PPK) seperti komputer dan mesin pencetak,” katanya.

PPK beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.


Pengarang :