Edry Faizal Eddy Yusof (duduk, kiri) pada sesi dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia Alam pada 7 September 2020
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ekonomi kreatif kalis pandemik – Edry Faizal

Oleh Edry Faizal Eddy Yusof

Pendapat Ahli Dewan Negeri Dusun Tua dalam Segmen Suara Muda yang disiarkan di akhbar SelangorKini edisi 24-30 September 2020

Selepas Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) hadir dengan pelbagai gugatan terhadap industri dan memaksa ekonomi untuk mengikuti arusnya, dunia dilanda pula pandemik Covid-19. Jika dibandingkan dengan IR4.0, tiada siapa dapat meramalkan kehadiran wabak sedahsyat ini dan kesannya terhadap kebiasaan manusia, seterusnya dampak pandemik terhadap ekonomi.

Selain daripada pengadaptasian yang perlu dilakukan oleh semua kerajaan di dunia saat ini kepada kebiasaan baharu, ini juga masa terbaik untuk menilai kembali struktur dan sisi-sisi lain ekonomi yang jarang diberi tumpuan. Antara yang perlu diberi perhatian ialah sumbangan dan peranan ekonomi kreatif.

Pada sesi dialog Belanjawan Selangor 2021, terdapat satu sindiket khusus untuk industri kreatif bagi membincangkan hal berkaitan industri berkenaan. Ini cukup signifikan untuk menggambarkan yang Kerajaan Negeri turut melihat industri ini sebagai salah satu pemangkin kemajuan negeri, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pemain-pemain penting industri tersebut berpusat di Selangor.

Takrifan industri kreatif mungkin mempunyai perbahasan yang panjang. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) bagaimanapun mentakrifkannya sebagai industri yang menjalankan aktiviti ekonomi terdiri daripada pengiklanan, seni bina, seni dan kraf, reka bentuk, fesyen, filem, video, fotografi, muzik, seni pertunjukan, penerbitan, penyelidikan dan pembangunan, perisian, permainan komputer, penerbitan elektronik, dan televisyen mahupun radio.

Teroka industri kreatif

Meskipun jarang kita dengar perihal industri kreatif dirangkum dalam perbahasan tentang pembangunan dan kemajuan sesebuah negeri, hakikatnya usaha untuk memacunya seiring hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju telah pun bermula sejak 1996 dengan tertubuhnya Koridor Raya Multimedia (MSC). Ia juga seiring dengan apa yang lazim kita dengar sebagai ekonomi pengetahuan (knowledge economy).

Edry Faizal Eddy Yusof

Akan tetapi, yang membuatkan Malaysia sedikit ketinggalan adalah disebabkan kebanyakan pemain penting dan pembuat dasar keliru dengan apa yang disebut sebagai ekonomi pengetahuan yang sering kali disempitkan dengan merujuk kepada sains dan teknologi serta aktiviti berteknologi tinggi. Sementara sektor kreatif tidak dilihat memainkan peranan penting.

Ini tentu terkait dengan tanggapan umum masyarakat dan pembuat dasar terhadap hasil dunia kreatif sebagai bukanlah suatu keperluan. Namun, saya yakin perkembangan pesat teknologi dan dunia digital telah banyak mengubah persepsi itu. Lebih-lebih lagi dengan kejayaan animasi di Malaysia seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali melangkaui sempadan negara.

Perkembangan industri ini turut terakam di dalam Tinjauan Ekonomi Kreatif yang dilakukan UNCTAD menunjukkan eksport barangan kreatif Malaysia meningkat dari USD2.6 bilion pada 2005 kepada USD6 bilion pada 2014. Sebahagian besar daripadanya adalah barangan rekaan dengan jumlah eksport USD3.9 bilion diikuti de-ngan audiovisual sebanyak USD944.5 juta dan media baharu sebanyak USD905 juta.

Belum terlambat

Bagi sebuah negeri seperti Selangor yang jumlah populasinya sentiasa berada kedudukan teratas, potensi industri kreatif mewujudkan peluang pekerjaan tentu sekali merupakan perkara yang perlu dipertimbangkan. Melalui data Kluster Multimedia Kreatif MDEC (2014;2015) pula menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan daripada 7,724 pada 2008 ke 10,515 peluang pekerjaan pada 2014.

Pada 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi mencatatkan jualan sebanyak RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 billion dan mewujudkan 11,471 peluang pekerjaan. Melihat potensi eksport dan penciptaan peluang pekerjaan, industri kreatif bukanlah sesuatu yang harus dikesampingkan.

Lebih-lebih lagi apabila sesetengah bidang di dalam industri kreatif seperti penciptaan ‘gaming’ misalnya boleh dikatakan kalis daripada pandemik yang melanda dunia baru-baru ini. Tentu sekali ini berlaku kerana bidang berkenaan tidak terikat dengan cara kerja konvensional. Pasaran sasaran mereka juga boleh bergantung sepenuhnya dalam talian yang tidak terhad sekadar di Malaysia sebaliknya seluruh dunia.

Negara membangun sekalipun kekurangan sumber inovasi dan teknologi, namun subur untuk ekonomi kreatif kerana kaya dengan sumber budaya. Kekayaan sumber dan budaya ini yang membolehkan negara seperti Malaysia bersaing dengan negara maju dalam dalam industri kreatif. Selangor sebagai sebuah negeri kosmopolitan, tempat temu segala budaya di Malaysia, harus meraih peluang itu.

Sudah tentu untuk memastikan keberhasilan ekonomi kreatif melalui industri kreatif, kerjasama erat harus dibentuk antara kerajaan negeri dan pihak swasta. Ia harus berjalan serentak dengan usaha membantu membangunkan ekosistem yang sihat buat industri itu. Sebetulnya, kita masih belum terlambat. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama.

 


Pengarang :