Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove Meru, Klang pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMI

Eksport sarung tangan getah Malaysia meningkat 50 peratus

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Pengeksportan sarung tangan getah keluaran Malaysia telah meningkat kepada RM15.06 billion bagi tempoh Januari sehingga Julai 2020 berbanding RM10.03 billion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 50.1 peratus, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata kenaikan itu disebabkan permintaan yang tinggi dan usaha dilakukan kerajaan untuk membantu industri sarung tangan getah, jumlah permintaan global sarung tangan getah dianggarkan berjumlah 330 billion unit pada tahun 2020 manakala pengeluaran dari Malaysia untuk pasaran eksport dijangka berjumlah 220 billion unit atau sebanyak 67 peratus syer daripada permintaan global.

“Ini merupakan peluang baik untuk negara memperkukuhkan jenama dan keyakinan terhadap produk Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Idris Ahmad, yang ingin tahu mengenai usaha dan tindakan kerajaan untuk mengambil peluang di dalam sektor pembuatan serta penghasilan sarung tangan getah yang dilihat semakin rancak semenjak penularan Covid-19, menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan negara.

Lim berkata untuk mengambil peluang di dalam sektor pembuatan serta penghasilan sarung tangan getah yang rancak berkembang, kerajaan akan menggalakkan industri sarung tangan getah untuk membuat pelaburan semula atau pelaburan tambahan menerusi Skim Galakan Elaun Pelaburan Semula Khas (EPS Khas) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Skim EPS Khas yang diumumkan kerajaan itu menggalakkan pelaburan semula atau pelaburan tambahan disediakan. Skim ini boleh digunakan untuk tahun taksiran 2020 hingga 2022,” katanya.

Selain itu kerajaan menggalakkan penggunaan automasi dan teknologi tinggi dalam sektor perkilangan termasuk industri sarung tangan getah di mana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menawarkan Insentif Elaun Modal Automasi bagi industri perkilangan yang berintensifkan buruh bagi menggalakkan penggunaan automasi dalam sektor perkilangan.

“Memandangkan industri sarung tangan getah berkembang rancak selepas berlakunya pandemik itu dan wujudnya keperluan untuk membina kilang dengan kadar lebih cepat, kerajaan melalui Penjana telah memperkenalkan inisiatif di mana syarikat boleh mendapatkan kelulusan Lesen Pengilang dalam tempoh 48 jam menerusi inisiatif permohonan lesen pengilang secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menubuhkan Unit Projek Penyelarasan dan Kepantasan atau PACU di bawah MIDA untuk menawarkan kemudahan secara menyeluruh dan memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan.

MITI melalui agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut membantu syarikat tempatan termasuk syarikat pembuatan sarung tangan getah melalui pelbagai inisiatif, antaranya ialah padanan perniagaan dilakukan secara maya antara syarikat pengeksport Malaysia dan pembeli luar negara, kata Lim.

Pameran MyAPEC 2020 secara maya yang akan berlangsung pada 1 September 2020 hingga 31 Disember depan akan memberi peluang kepada syarikat Malaysia menyertainya seterusnya melakukan sesi pembentangan perniagaan kepada pembeli dari luar negara, katanya.

Selain itu Matrade turut menganjurkan ‘eNational Export Day’ mulai 8 hingga 10 September tahun ini bagi membincangkan peluang perniagaan yang wujud susulan daripada krisis pandemik tersebut.

Inisiatif lain dilakukan Matrade ialah mewujudkan Bantuan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) bagi menampung kos penyertaan syarikat Malaysia di pameran perdagangan antarabangsa secara maya di dalam dan luar negara, serta 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :