PBTSELANGOR

Elak kes denggi meningkat, MPKj pasang penyembur nyamuk automatik

SHAH ALAM, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang penyembur nyamuk automatik di dua kawasan perumahan di Sungai Long untuk mengelak peningkatan kes denggi.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkefli Khalid berkata Evergreen Park Acorn dan Hazel merekodkan sembilan kes jangkitan dalam tempoh 42 hari manakala tujuh kes di Evergreen dalam tempoh 40 hari.

“Penyembur berkenaan akan membuat semburan secara automatik bermula jam 6.30 pagi, 6 petang dan tengah malam. Dengan cara ini, kita mengurangkan penggunaan tenaga kerja serta kos pengangkutan ke lokasi,” katanya memetik laporan The Star.

Beliau menjelaskan penggunaan Sistem Mistaway adalah inisiatif baru MPKj dengan kerjasama Sumitomo Chemical Enviro-Agro Asia Pacific Sdn Bhd yang menyediakan mesin dan racun serangga.

Katanya, mesin berkenaan pernah digunakan di Flat Baiduri dan Bandar Tasik Kesuma, Kajang selepas ia dikenal pasti sebagai lokasi panas denggi selama enam bulan.

Zulkefli menambah dari Januari sehingga 12 September lalu, Hulu Langat merekodkan kes denggi kedua tertinggi di Selangor iaitu 7,723 kes dengan tiga kematian.

Bagaimanapun jumlah berkenaan turun 30.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 11,094 kes dengan 15 kematian.


Pengarang :