Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura kepada wakil masjid sempena Solat Maghrib dan Bacaan Tahlil Kepada Pejuan-Pejuang Negara Yang Telah Meninggal di Surau An-Nur Taman Jasa, Gombak pada 16 September 2020. Foto Radin Wazir/PEJABAT MENTERI BESAR
AGENDANASIONAL

Elaun imam, nazir tanda penghargaan Kerajaan Negeri

GOMBAK, 17 SEPT: Pemberian elaun kepada imam dan nazir di Selangor adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada golongan itu yang selama ini menjadi tonggak dalam masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.

Jelasnya, walaupun mengejar kemajuan, namun Kerajaan Selangor sentiasa berusaha mentadbir secara berhemah tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

“Kerajaan Negeri melihat aspek pentadbiran secara menyeluruh, malah ada asas-asas kerangka pentadbiran yang perlu kita jaga dan pertahankan termasuk surau dan masjid yang perlu dipelihara dan dijaga dengan baik.

“Baru-baru ini timbul isu seolah-olah Kerajaan Negeri mahu memotong elaun imam dan nazir, namun sebenarnya ia berlaku akibat kesan Covid-19, oleh sebab tidak mahu keresahan berpanjangan, kita (Kerajaan Negeri) menampung jumlah elaun tersebut dengan peruntukan RM3 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Bacaan Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Surau di Surau An Nur Taman Jasa, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan 22 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua menerima bantuan wang tunai sebanyak RM110,000.

Sebelum ini, terdapat media melaporkan elaun kakitangan masjid dan surau terpaksa diselaraskan bagi memberikan keutamaan kepada asnaf.

Namun pada 15 September, Amirudin memaklumkan elaun bulanan kakitangan masjid dan surau kekal seperti sebelum pelarasan yang ingin dibuat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tempoh Mei hingga Disember.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menampung jumlah elaun tersebut dengan peruntukan RM3 juta.

Elaun bulanan yang dikekalkan seperti berikut: bilal 1 sebanyak RM290, bilal 2 (RM200), nazir (RM250), siak 1 (RM240) dan siak 2 (RM150). Sementara timbalan nazir, setiausaha dan bendahari mendapat RM100.


Pengarang :