AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Elaun masjid dan surau kekal, MB umum tampung dana RM3 juta

SHAH ALAM, 15 SEPT: Elaun bulanan kakitangan masjid dan surau kekal seperti sebelum pelarasan yang ingin dibuat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tempoh Mei-Disember.

Kerajaan Negeri menampung jumlah elaun tersebut dengan peruntukan RM3 juta seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar hari ini.

“Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil keputusan agar kadar elaun petugas masjid dan surau dikembalikan semula kepada kadar sebelum ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya.

“Kerajaan Negeri akan menanggung pelarasan tersebut dengan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta.”

Beliau menjelaskan akibat Covid-19, kutipan zakat turun mendadak hampir 20 peratus dan golongan asnaf makin terhimpit dalam wabak itu.

“Saya difahamkan bahawa elaun tambahan petugas masjid ini yang dibayar bermula tahun 2003 adalah daripada hasil kutipan zakat oleh LZS setiap tahun,” katanya.

Elaun bulanan yang dikekalkan seperti berikut: bilal 1 sebanyak RM290, bilal 2 (RM200), nazir (RM250), siak 1 (RM240) dan siak 2 (RM150). Sementara timbalan nazir, setiausaha dan bendahari mendapat RM100.

Amirudin diberikan taklimat berhubung pelarasan itu oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M.Yusop pagi tadi.

Keratan akhbar yang melaporkan pelarasan elaun oleh LZS dalam surat bertarikh 10 September menyebut ia dibuat bagi memberikan keutamaan kepada asnaf.

 


Pengarang :