AGENDANASIONAL

Empat sasterawan negara meriahkan acara baca puisi Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini akan bergegar dengan lontaran suara empat Sasterawan Negara menyampaikan puisi kenegaraan pada acara Malam Puisi Hari Malaysia pada jam 8.30 malam Selasa depan.

Pada acara anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) bersempena sambutan Hari Malaysia 2020 itu, Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhuan, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Dr Siti Zainon Ismail akan beraksi bersama-sama para pemenang sayembara puisi kebangsaan, penyanyi lagu puisi dan penggiat teater tempatan pada persembahan percuma untuk warga kota.

Presiden Pemuisi Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata ini merupakan kali pertama acara Pemuisi diadakan dengan penyertaan penonton sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan mulai Mac lepas.

“Sebelum ini beberapa program kami termasuk Baca Puisi Ramadan Sedunia 2020 pada 30 April lepas yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai acara baca puisi yang menampilkan paling banyak hantaran video diadakan secara dalam talian.

“Untuk persembahan kali ini, kami akan pastikan ia mematuhi tatacara operasi piawai bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Peminat puisi yang ingin menghadiri acara ini diminta menempah tempat dengan menelefon 012-5025688 (Zaleena E-naa).

– BERNAMA


Pengarang :