V Ganabatirau. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Belanjawan 2021 fokus kebajikan rakyat

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Program kebajikan rakyat diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata cadangan itu bagi meningkatkan semula taraf kehidupan rakyat yang terjejas susulan penularan Covid-19.

“Kita faham kesan wabak ini dan pendapatan negeri juga menyusut. Kita cuma harap peruntukan dalam Belanjawan 2021 nanti mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya ditemui selepas Program Pemberian Barangan Perlidungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat Mukim Ujong Permatang hari ini.

Selangor memperuntuk RM2.33 bilion tahun lalu dengan RM1.13 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan sementara RM1.2 bilion atau 51.44 peratus bagi belanja mengurus.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM127.78 juta, mengandungi tujuh inisiatif bagi mengurangkan beban ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Inisiatif itu antaranya memperuntuk penangguhan bayaran cukai tanah, manfaat untuk petugas barisan hadapan memerangi virus berkenaan serta peniaga dan penjaja berlesen.

Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua yang dibentangkan pada 1 April pula bertujuan menyerap dampak sosio-ekonomi penularan wabak bernilai RM272.5 juta sementara pelan pemulihan ekonomi yang diumumkan pada 13 Julai menekankan tiga tonggak utama.

Tonggak tersebut meliputi aspek jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dengan nilai keseluruhan RM55.85 bilion.

 


Pengarang :