Kelihatan bendera merah diletakkan dan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan pemantauan supaya orang ramai tidak melakukan aktiviti di pesisir pantai berikutan air pasang ketika tinjauan di Pantai Baru Morib, Banting pada 19 September 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO gesa semua pihak waspada amaran ribut, air pasang besar

SHAH ALAM, 20 SEPT: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), biro dan penghulu mukim di lima daerah negeri ini digesa berjaga-jaga susulan kejadian ribut dan air pasang besar.

EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Rodziah Ismail turut meminta pihak berkenaan memberi bantuan awal kepada penduduk di kawasan berisiko.

“Berdasarkan informasi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, beberapa kawasan terutama di pesisiran pantai akan terdedah kepada ribut dan air pasang besar.

“Oleh itu, saya ingin memohon kepada semua MPKK, biro serta penghulu mukim di kawasan terlibat untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta memberi bantuan awal kepada penduduk di sekitar kawasan semampu mungkin,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata amaran tersebut tidak boleh diambil ringan dan jentera Kerajaan Negeri sentiasa bersiap sedia menangani masalah bencana yang dialami penduduk.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.


Pengarang :