Rumah di atas rizab Sungai Pelempas, Shah Alam yang dirobohkan oleh Pejabat Daerah Petaling pada 3 September 2020 bagi projek tebatan banjir. Foto oleh FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Jabatan audit tegur projek Sungai Pelempas sering tertunda

SHAH ALAM, 3 SEPT: Keengganan penduduk berpindah menyebabkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelempas di sini tergendala sehingga ia ditegur oleh Jabatan Audit Negara.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata kelewatan projek itu dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember 2018.

“Justeru, penguatkuasaan perlu dibuat bagi memastikan projek RTB Sungai Pelempas siap dalam tempoh yang ditetapkan bagi faedah penduduk Petaling amnya dan Kampung Melayu Subang khususnya,” kata Ir Izham Hashim ketika sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas operasi perobohan 20 struktur di Desa Subang Perantau 2 di sini pagi ini yang dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 selepas empat kali penangguhan, termasuk bagi membolehkan penduduk meraikan Aidiladha.

Sebahagian penduduk Desa Subang Perantau, Shah Alam menerima surat tawaran Rumah Selangorku pada 10 Disember 2019 sebelum kediaman mereka yang didirikan atas tanah kerajaan dirobohkan untuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas.

Projek tebatan sepanjang 2.1km, bernilai RM15.13 juta, bertujuan menangani masalah banjir di Kampung Melayu Subang di sini, sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Banjir akan terjadi apabila hujan lebat turun dalam tempoh sejam,” tambahnya.

Ir Izham berkata Kerajaan Negeri tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan sebaliknya mengambil kira keperluan penduduk agar semua dapat manfaat.

Selain bayaran ex-gratia (saguhati) berjumlah RM392,000, seramai 27 pemilik ditawar Rumah Selangorku dan bantuan zakat dihulurkan kepada yang layak.

Berikut kronologi projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas:

1) Projek yang bermula pada 13 April 2016 sepatutnya disiapkan pada 11 Oktober 2017

2) Kedudukan struktur sedia ada menghalang pelaksanaan projek hingga mengakibatkan lanjutan masa (EOT) sebanyak empat kali, terakhir 11 Februari 2021

3) Penyampaian Notis 425 Kanun Tanah Negara 1965 dibuat pada 30 Disember 2019 dan 13 Mac 2020

4) Lembaga Zakat Selangor mengadakan bancian penduduk Plot A, B dan C pada 17 November 2019

5) Penduduk diberikan surat tawaran Rumah Selangorku pada 10 Disember 2019

6) Penyampaian surat panggilan kepada penduduk supaya hadir mengambil cek bayaran ex-gratia pada 3 Jun 2020

7) Penduduk hadir mengambil cek bayaran ex-gratia (saguhati) pada 5 dan 9 Jun 2020 di PDT Petaling dengan peruntukan keseluruhan RM392,000

8) Perobohan Plot A dan C dilakukan pada 9 dan 10 Jun, manakala Plot B dibuat 3 September.


Pengarang :